KUALA LUMPUR – UMNO perlu keluar dari ‘kepompong’ lama dan mengubah cara mendekati pengundi menggunakan medium digital bagi menghadapi Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri akan datang.
Ini kerana kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, komunikasi tanpa lisan terutamanya di media sosial ketika ini menguasai lebih 82 peratus daripada sistem komunikasi sedia ada.
“Inilah hakikat, itulah yang ditekankan oleh Datuk Seri Azalina, kita mesti keluar dari kepompong lama.
“Kita mempunyai ketua penerangan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan. Kita tahu pengaruh tokoh kita (kepimpinan UMNO) di media sosial seperti Datuk Lokman Adam, Wan Mahussin dan juga Datuk Mohd. Noor Helmy
“Kita ucap tahniah kepada tokoh ini, apa sahaja aktiviti atau isu-isu semasa yang berlaku di kawasan mereka sebut (cerita) di media sosial,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Politik Era Digital 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Mengulas lanjut, sejarah telah membuktikan medium komunikasi baharu seperti TikTok telah memberi impak besar kepada pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri Narendra Modi dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Jelasnya, apabila generasi yang lahir 2008 dan generasi yang berada di bawah umur 40, mindanya sudah berbeza.
“Inilah suatu realiti yang kita wajib dihadapi.Kita lihat suatu realiti bencinya pengundi-pengundi Amerika Syarikat (AS) kepada (Donald) Trump sangat-sangat luar biasa. Namun tidak ramai jangka Trump boleh menang.
“Malah Trump sangat marah kepada TikTok ketika itu dan dia janji kalau menang (pilihan raya), TikTok akan diharamkan. Jelas TikTok sebagai media generasi baharu sampai sekarang tidak diharamkan. Ertinya kemenangan Trump dibantu oleh TikTok dan media sosial lain,” katanya.-KOSMO! ONLINE
