PUTRAJAYA: Pelantikan menteri dan timbalan menteri yang menjaga portfolio Wilayah Persekutuan tidak seharusnya dijadikan isu perkauman kerana pemilihan anggota Kabinet tidak mengikut warna kulit, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, semua anggota Jemaah Menteri yang dipilih berperanan memastikan perkhidmatan awam berfungsi dengan berkesan untuk semua kaum.
Katanya, tadbir urus di Wilayah Persekutuan memerlukan kerja berpasukan, sambil menegaskan bahawa walaupun datuk bandar dan pegawai kanan mungkin terdiri daripada orang Melayu, tanggungjawab tetap untuk berkhidmat dan melindungi kepentingan semua komuniti.
“Ini tidak semestinya bermakna pelantikan menteri berbangsa Cina akan menyebabkan orang Melayu ditindas. Begitu juga, jika seorang menteri Melayu diberi amanah mengendalikan portfolio Wilayah Persekutuan, ia tidak bermakna menteri itu hanya akan menjaga kepentingan orang Melayu.
“Datuk Bandar adalah orang Melayu dan tadbir urus memerlukan kerja berpasukan, dengan tanggungjawab untuk membantu dan berkhidmat kepada semua komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Perdana Menteri Besama Ketua-Ketua Pengarang Media di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima, Farrah Naz Abd Karim dan Pengarang Kumpulan (GE) Berita Harian (BH), Zulkifli Jalil.
Dalam pengumuman rombakan Kabinet semalam, Anwar mengumumkan pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Lo Su Fui sebagai Timbalannya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, rombakan Kabinet dengan penyertaan muka baharu dan lebih muda adalah sebagai persediaan bagi memberi ruang kepada barisan kepemimpinan memperkasakan kerajaan dalam tempoh jangka panjang.
Katanya, kemunculan generasi pemimpin muda berpengalaman berupaya memainkan peranan sebagai penyambung kepemimpinan negara pada masa akan datang.
“Jika dilihat senario, kita dapat melihat kemunculan barisan kepemimpinan baharu yang kebanyakannya terdiri daripada generasi muda yang berpengalaman dan boleh dianggap sebagai generasi kedua dan ketiga kepemimpinan parti.
“Pada peringkat awal (pentadbiran) dahulu, saya tidak dapat melaksanakannya kerana keutamaan ketika itu adalah untuk memastikan kestabilan dan kekuatan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau menegaskan, usaha melaksanakan pembaharuan adalah perlu bagi memastikan kerajaan menjadi lebih kuat demi kesejahteraan rakyat dan negara.
“Ambil contoh Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa. Beliau bersama parti (PKR) sejak awal dan perjalanannya bukan mudah, tidak berlaku dalam tempoh singkat. Ada ketika beliau melalui fasa yang mencabar, tetapi akhirnya beliau berjaya.
“Saya percaya beliau juga memahami bahawa saya mempunyai ruang dan tanggungjawab untuk mengembangkan barisan kepimpinan dan pada masa yang sama memastikan beliau terus melaksanakan peranan yang diamanahkan sebelum memberi laluan kepada wajah-wajah baharu,” katanya.-BH Online
