KUCHING : Perjanjian komersial antara PETRONAS dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) yang dijangka diselesaikan tahun depan diharap dilaksanakan menerusi pendekatan menang-menang seperti yang dipersetujui bersama antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perjanjian itu mengambil kira kepentingan Malaysia dan Sarawak, khususnya dalam memastikan sektor minyak dan gas terus menjadi pemangkin utama ekonomi negara.
Menurutnya, proses undang-undang yang panjang dan penyelesaian yang rumit hanya berisiko membawa perkara itu ke mahkamah, sekali gus berpotensi mengakibatkan kerugian kepada semua pihak.
“Perjanjian komersial antara PETRONAS dan PETROS diharap akan selesai tahun depan kerana sudah ada persetujuan dan pertukaran surat antara dua pihak itu.
“Kita tidak mahu perkara ini berlarutan sehingga menjadi pertikaian di mahkamah kerana jika itu berlaku, ia mungkin berakhir dengan kerugian dan apa yang perlu kita lakukan ialah duduk berbincang dan melihat bidang yang boleh kita perbaiki demi negara dan perniagaan,” katanya pada Sesi Forum dalam Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Turut bersama dalam forum yang dikendalikan moderator Syed Munawar Syed Mustar itu ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Fadillah berkata, pendekatan menang-menang menjadi asas kepada rundingan antara PETRONAS dan PETROS itu selaras dengan semangat kerjasama yang digariskan oleh Anwar dan Abang Johari.
Beliau berkata, beberapa keputusan penting dijangka diperoleh pada awal tahun depan, dengan rundingan kini berada di peringkat akhir.
“Sektor minyak dan gas adalah sangat penting kepada Malaysia dan Sarawak. Proses ini sedang berjalan dan PETRONAS sendiri melabur berbilion ringgit, manakala negeri pula menerima royalti serta dividen,” katanya.
Fadillah berkata, kunci kejayaan kerjasama itu adalah kesepakatan untuk bekerjasama dalam mengeksport minyak dan gas, di samping menjamin keseluruhan rantaian bekalan agar kekal stabil dan berdaya saing.
“Seluruh rantaian bekalan mesti dijamin dan inilah formula kemenangan untuk Malaysia.
“Prinsip itu sudah digariskan dan kini kita hanya perlu memastikan kedua-dua pihak mengurangkan sedikit perbezaan dan beralih kepada pendekatan yang lebih praktikal,” katanya.
Sementara itu, mengenai mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan datang, beliau berkata tarikh belum ditetapkan kerana perlu menunggu pengumuman rombakan kabinet Persekutuan.
“Tunggulah tahun depan baru kita dapat tentukan tarikh, sebab bimbang ada rombakan Kabinet.
“Manalah tahu, saya tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi, macam mana kita hendak menetapkannya (tarikh mesyuarat),” katanya.-BH Online
