Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus melaksanakan serta memperkukuh pelbagai inisiatif perlindungan kanak-kanak yang menyeluruh termasuk program kesedaran keselamatan dalam talian dan penguatkuasaan perundangan berkaitan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata KPWKM akan terus mengadakan kerjasama strategik dan bersepadu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi memastikan langkah pencegahan, pengesanan awal dan perlindungan dapat dilaksanakan secara berkesan serta berterusan.

“Langkah pengukuhan kawal selia ini amat signifikan dalam konteks perlindungan kanak-kanak, memandangkan mereka semakin terdedah kepada pelbagai risiko dalam talian termasuk eksploitasi seksual, penipuan, gangguan siber serta pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai dan berbahaya.

“Persekitaran digital yang lebih selamat bukan saja membantu melindungi kesejahteraan kanak-kanak, malah memberi keyakinan kepada ibu bapa dan keluarga membimbing penggunaan teknologi secara lebih bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, MCMC memaklumkan semua penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Januari 2026, melalui pelaksanaan Peruntukan Deeming mengikut Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MCMC berkata, Peruntukan Deeming bertujuan memastikan semua platform terbabit memikul tanggungjawab lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan keluarga.

Nancy berkata, perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama semua pihak dan masyarakat digalak tampil melaporkan sebarang kebimbangan atau kes berkaitan keselamatan kanak-kanak serta keluarga supaya tindakan segera dapat diambil.

Katanya, sebarang laporan boleh disalurkan melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999 yang beroperasi 24 jam bagi memastikan bantuan dan perlindungan disampaikan tanpa kelewatan.

“Usaha memperkukuh keselamatan ruang digital ini memerlukan kesedaran, kebersamaan dan komitmen berterusan daripada semua pihak demi memastikan kanak-kanak dapat membesar dalam persekitaran selamat, sejahtera serta terlindung, selaras hasrat kerajaan memelihara kesejahteraan keluarga dan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berasingan turut menyambut baik langkah MCMC memperkenalkan inisiatif Peruntukan Deeming itu bagi memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan internet dan media sosial di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara yang teratur, konsisten dan berkesan.

“Dalam ruang lingkup pendidikan, inisiatif baharu ini dapat meningkatkan keselamatan murid dan seluruh warga pendidikan daripada ancaman jenayah siber seperti eksploitasi seksual, penipuan dan penyalahgunaan platform digital.

“KPM akan meningkatkan kerjasama dengan semua pemegang taruh termasuk MCMC dan PDRM bagi memastikan aspek keselamatan digital dalam kalangan murid dan warga pendidikan dapat terus dipertingkatkan,” kata kementerian itu. –BERNAMA