Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 4 Disember – Kerajaan terus memperkukuh daya saing pendidikan tinggi negara apabila sejumlah 53,322 pelajar antarabangsa telah mendaftar di 20 Universiti Awam (UA) pada tahun 2024.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, peningkatan penyertaan pelajar antarabangsa ini membuktikan reputasi global UA di Malaysia semakin kukuh, selari dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperluas jaringan akademik, penyelidikan dan mobiliti pelajar di peringkat antarabangsa.

Daripada jumlah keseluruhan, 13,986 pelajar berada di peringkat prasiswazah (2.3%), manakala 39,336 pelajar merupakan pelajar pascasiswazah (6.4%). 

“Berdasarkan sistem MyMohas di KPT, bilangan pendaftaran pelajar bukan warga negara Malaysia di 20 UA pada tahun 2024 adalah seramai 53,322 orang. Seterusnya, tiga UA lagi yang mempunyai pelajar antarabangsa tertinggi ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM)dengan jumlah keseluruhan 27,669 pelajar,” jelasnya.

Tambah beliau, majoriti pelajar antarabangsa peringkat prasiswazah datang dari China (5,812 pelajar), Indonesia (528) dan Bangladesh (144), manakala pelajar pascasiswazah tertinggi berasal dari China (14,711), Iraq (912) dan Indonesia (684).

Kerajaan komited memastikan universiti awam terus menjadi destinasi pilihan global menerusi penambahbaikan kualiti akademik, peningkatan keupayaan penyelidikan dan pengukuhan persekitaran pembelajaran bertaraf dunia.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lee Chuan How dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.-Berita RTM