Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR , 3 Disember – Kerajaan Persekutuan akan mendapatkan penjelasan segera daripada Kerajaan Terengganu berhubung tindakan mengeluarkan notis larangan menceroboh ke atas 10 ladang FGV Holdings Berhad (FGV), yang berkuat kuasa Ahad lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata beliau akan menghubungi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berhubung perkara itu.

Beliau percaya perkara tersebut mampu diselesaikan demi kepentingan peneroka dan rakyat Terengganu.

“FELDA diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan saya diberikan tanggungjawab untuk menyantuni serta mendepani permasalahan yang dihadapi FELDA.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Terengganu mengenai perkara itu. Tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perbincangan Cyberjaya 2025 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, FELDA dan FGV semalam memaklumkan dalam kenyataan bersama bahawa mereka sedang menjalankan proses semakan menyeluruh ke atas semua dokumen berkaitan bagi menyelesaikan isu notis amaran yang dikeluarkan Kerajaan Terengganu ke atas lot ladang milik agensi itu dan anak syarikatnya.-Berita RTM