Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA TINGGI, 23 November -Pejabat Agama Daerah Kluang, Johor sedang menjalankan siasatan berhubung kes tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki bersilat di hadapan kubur di daerah itu.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama ) Datuk Dr Mohd Naim Mokthar berkata, siasatan akan merangkumi semua aspek termasuk akidah dan syariah, serta menilai tahap mental individu terbabit.

Beliau turut memohon masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Jadi saya harap sangatlah supaya ada sifat empati dan jangan kita membuat andaian, penghakiman sebelum kita tahu apa sebenarnya yang berlaku, jadi sebab itu saya kata asas siasatan itu pun pentinglah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutupan Karnival Hijrah 2025 di FELDA Air Tawar Dua, Kota Tinggi, yang disempurnakan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled.

Datuk Dr Mohd Naim turut menasihatkan orang ramai supaya cakna terhadap batas agama, kerana perbuatan seperti bersilat dihadapan kubur dikhuatiri melanggar ajaran agama Islam, selain mengguris perasaan waris.-Berita RTM