JOHANNESBURG, 21 November -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Afrika Selatan sebagai negara benua Afrika pertama yang memegang tampuk Kepresidenan G20.
Bertemakan “Solidarity, Equality, Sustainability”, ia selari dengan fokus Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan tumpuan khusus kepada usaha memperkukuh daya tahan bencana, kestabilan hutang, serta pendanaan peralihan tenaga yang adil dan mampan.
Semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Perdana Menteri turut menekuni kemajuan dan tahap hubungan dua hala susulan lawatan rasmi Presiden Ramaphosa ke Putrajaya pada Oktober lalu.
Tambah beliau, Malaysia bersedia memuktamad dan menandatangani beberapa dokumen penting termasuk MoU Kerjasama ekonomi dan industri, kerjasama halal, pertanian, tenaga hijau, teknologi, penyelidikan, serta kerjasama pendidikan dan TVET.
Pertemuan penting itu turut menawarkan ruang dan insentif di MY Integrated Circuit (IC) Design Park kepada syarikat dari Afrika Selatan untuk menyertai rantaian nilai semikonduktor Malaysia.
Selain mengeratkan kerjasama pertahanan dan perdagangan seperti daging lembu serta sains dan inovasi, Datuk Seri Anwar turut memohon dukungan Afrika Selatan mengenai pencalonan Malaysia di beberapa badan antarabangsa termasuk IMO, ECOSOC, ITU, HRC dan UNSC.
Tambah beliau, Malaysia komited membina hubungan yang lebih kukuh berteraskan solidariti, keyakinan dan agenda pembangunan yang saling memanfaatkan rakyat kedua-dua negara Malaysia dan Afrika Selatan.
Terdahulu, Perdana Menteri sempat bertegur sapa dengan Premier China Li Qiang yang turut berada, di sini untuk G20 sebelum memulakan mesyuarat dua hala bersama Presiden Afrika Selatan.-BH Online
