Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia mempunyai antara kadar internet termurah bagi setiap gigabait.

Ia mencerminkan usaha berterusan kerajaan memastikan kesalinghubungan digital yang mampu milik dan inklusif untuk rakyat.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Malaysia juga berjaya melaksanakan rangkaian 5G pada kadar yang sangat pantas.

Hasilnya, negara kini memiliki rangkaian 5G terpantas di Asia Tenggara dan kedua terpantas di rantau Asia Pasifik selepas Korea Selatan.

“Kita adalah antara 10 negara di mana kadar internet bagi setiap gigabait hanyalah sekitar 2 sen. Saya rasa kita tidak pernah sebelum ini melihat keadaan di mana syarikat-syarikat telekomunikasi Malaysia dapat duduk semeja dan mencapai sesuatu bentuk konsensus,” kata beliau ketika menghadiri majlis ramah mesra bersama Diaspora Malaysia di Rumah Malaysia, di Baku, Azerbaijan.

Datuk Fahmi berada di Baku dari 16 hingga 19 November untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25).

Penyertaannya dalam persidangan itu adalah sebahagian daripada usaha mengekalkan kerusi Malaysia dalam Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027–2030.

Ia susulan pengumuman pencalonan Malaysia untuk pemilihan semula ke majlis tersebut pada Julai lalu.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Oktober lalu, telah menyerlahkan kekuatan diplomasi negara.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohd Annuar Zaini, serta Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Ahmad Kamrizamil Mohd Riza.-Berita RTM