KUCHING, 16 November – Mana-mana pihak yang bertanding dalam pilihan raya diingatkan agar tidak mengekploitasi kanak-kanak bagi tujuan kempen.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan, perbuatan itu bukan sahaja disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab, malah melanggar etika pilihan raya.
Sehubungan itu, beliau mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memantau rapat perkara tersebut.
“Jangan gunakan kanak-kanak bagi tujuan kempen pilihan raya, dan dalam hal ini peranan ibu bapa juga adalah penting dengan melarang anak masing-masing daripada terlibat atau digunakan dalam penghasilan mana-mana kandungan media sosial,” katanya.
Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Seminar Disability Equality Training dan Program Perkhidmatan Job Coach 2025 di Kuching, Sarawak.
Mengenai program itu, beliau mahu penggunaan perkhidmatan jurulatih pekerjaan ditingkatkan bagi menyokong golongan orang kurang upaya, OKU.
Buat masa ini katanya, pengguna perkhidmatan tersebut masih rendah kerana kurang pendedahan.-Berita RTM
