Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 15 November – Usaha menaik taraf rangkaian fasiliti kesihatan di Sabah menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila hampir 70 peratus kerja pembaikan telah diselesaikan, menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan projek itu melibatkan klinik kesihatan, klinik desa serta klinik berstatus daif yang dikenal pasti memerlukan intervensi segera.

Setakat ini, lebih 150 klinik di negeri itu telah melalui proses pembaikan dengan nilai peruntukan melebihi RM76 juta, manakala baki fasiliti dalam senarai sedang ditambah baik secara intensif.

“Kementerian amat menyedari keadaan sebahagian bangunan lama, termasuk yang masih berstruktur kayu, dan komited memastikan ia diganti demi keselamatan serta keselesaan penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jelajah Wira MADANI @ 25 Tahun sempena sambutan Jubli Perak Hospital Putrajaya di sini.

Datuk Seri Dr Dzulkefly turut menekankan bahawa usaha menaik taraf tersebut telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu, namun diperkukuh dengan lebih agresif sepanjang tahun ini bagi memastikan Sabah tidak ketinggalan daripada segi akses kepada perkhidmatan kesihatan asas.-Berita RTM