Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.97 bilion bagi pelaksanaan pelarasan pencen fasa 2 yang akan berkuat kuasa pada Januari 2026.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, inisiatif tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menghargai khidmat bakti golongan pesara seiring dengan prinsip Kesejahteraan yang menjadi tunjang kepada nilai-nilai Malaysia MADANI.
“Jasa yang telah disumbang oleh pesara kepada negara sangat besar, apatah lagi sumbangan dalam bidang pendidikan.
“Oleh yang demikian, pelarasan pencen diberikan keutamaan kepada pesara supaya mereka tidak ditinggalkan apabila berlaku pelarasan gaji kepada penjawat awam. Setiap pesara akan menikmati jumlah yang sama berdasarkan jumlah pencen terakhir,” katanya demikian kepada pemberita selepas mengadakan ziarah kasih ke rumah pesara penjawat awam di Seri Manjung di sini.
Beliau turut menegaskan bahawa pemerkasaan pesara memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai pihak.
Pada lawatan berkenaan, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan turut menyampaikan sumbangan kepada tiga pesara kerajaan iaitu Mohamed Zakaria Chu Osman 85 tahun, Zuwiyah Abd Rahman 81 tahun dan Shafie Md Rejab 63 tahun yang menghidapi masalah kesihatan.
Ketiga-tiga mereka menerima sumbangan berupa katil hospital dan bakul sumbangan makanan.-Berita RTM
