Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kedudukan kewangan negara yang semakin mantap membolehkan kerajaan mengembalikan sebahagian hasil kepada rakyat yang telah lama berdepan tekanan kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu turut disumbangkan penjawat awam dan pelbagai kelompok masyarakat yang memainkan peranan dalam menggerakkan ekonomi negara.

“Dalam Belanjawan 2027 baru-baru ini, inilah masa kita pulangkan kepada rakyat kerana sumbangan mereka selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Kementerian Pengangkutan, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah.

Anwar berkata, keputusan menyalurkan semula hasil kerajaan bukan sesuatu yang mudah kerana dana berkenaan turut diperlukan bagi membiayai pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur.

Bagaimanapun, beliau mengakui pemandu teksi dan bas sekolah menghadapi cabaran tersendiri, termasuk persaingan perkhidmatan pengangkutan serta peningkatan kos bahan api.

Menurutnya, sumbangan pemandu teksi bukan sahaja penting kepada pengangkutan awam, malah memberi kesan terhadap imej dan sektor pelancongan negara.

“Kalau semua pemandu teksi tidak jalankan tanggungjawab, orang naik teksi menyampah, itu tidak akan membantu ekonomi negara dan pelancongan negara. Semua ada peranan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, bantuan khas RM1,000 secara sekali bayar merupakan antara langkah kerajaan meringankan beban golongan berkenaan.

Bantuan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu menggunakan sebahagian hasil jualan nombor pendaftaran khas siri H. -Astro Awani