BEIJING – Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengadakan pertemuan dua hala dengan Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam Republik Rakyat China, TYT Wang Xiaohong, bagi memperkukuh kerjasama keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang antara Malaysia dengan China.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha mempertingkat perkongsian risikan, memperkukuh keupayaan agensi penguatkuasaan serta memperluas kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya pengedaran dadah dan penipuan siber.
Menurut Ahmad Zahid, pertemuan tersebut merupakan kesinambungan daripada beberapa siri perbincangan terdahulu yang mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua negara dalam menangani cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
Antara perkara yang diketengahkan ialah cadangan Malaysia untuk menubuhkan Kumpulan Kerja Bersama (Joint Working Group) antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak berkuasa penguatkuasaan dadah China. Cadangan berkenaan menerima maklum balas positif daripada pihak China.
Kerjasama kedua-dua negara sebelum ini turut membuahkan hasil menerusi kejayaan rampasan lebih 1.03 tan fentanyl citrate dalam Operasi Black Ash dan Blackwood pada Ogos 2025.
Ahmad Zahid berkata ancaman jenayah masa kini tidak lagi mengenal sempadan, dengan sindiket semakin licik dan memanfaatkan teknologi baharu untuk meluaskan kegiatan mereka.
Justeru, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan sentiasa bersedia menghadapi ancaman baharu.
Bagi Malaysia, keutamaan kerjasama itu adalah untuk melindungi keselamatan rakyat, membanteras sindiket jenayah serta memastikan setiap kerjasama dengan negara luar berteraskan penghormatan terhadap kedaulatan dan kepentingan negara.
Kerjasama Malaysia-China itu diharap dapat terus diperkukuh demi meningkatkan keberkesanan usaha membanteras jenayah rentas sempadan dan menjamin keselamatan rakyat kedua-dua negara. -Media Perpaduan
