Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mematuhi garis panduan ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dalam mengendalikan operasi sekolah ketika situasi jerebu ketika ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata beliau memahami keresahan ibu bapa yang terpaksa menunggu keputusan pengoperasian sekolah setiap hari sepanjang situasi jerebu.

Beliau berkata, KPM kini memulakan penyelarasan tatacara pengoperasian sekolah berpandukan PTJK. 

“Langkah ini bertujuan memastikan keputusan dibuat secara lebih tersusun berdasarkan penilaian keadaan semasa, termasuk bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan nasihat kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Melalui penyelarasan ini, aktiviti luar bilik darjah akan ditangguhkan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala penutupan sekolah dilaksanakan apabila bacaan IPU melebihi 200, selaras dengan ketetapan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya.

Terdahulu, NADMA menggesa semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mempergiat tindakan menangani jerebu melalui mesyuarat penyelarasan secara berkala, pemantauan kualiti udara berterusan dan tindakan segera oleh agensi berkaitan.

Langkah itu bagi melindungi kesihatan serta keselamatan rakyat, khususnya murid sekolah.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, semua pihak perlu memahami bahawa bacaan indeks pencemaran udara (IPU) boleh berubah dalam tempoh yang singkat.

“Penutupan sekolah untuk beberapa hari lebih awal tanpa mengambil kira perubahan ini boleh menyebabkan anak-anak kehilangan masa pembelajaran walaupun kualiti udara telah kembali pulih.

“Pada masa yang sama, saya memahami kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak, khususnya mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau lebih sensitif terhadap pencemaran udara.

“Ibu bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang akan kesihatan dan keselamatan mereka sepanjang tempoh jerebu dengan memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak sekolah.

“KKM turut memberikan pandangan mengenai langkah perlindungan kesihatan, termasuk penggunaan pelitup muka ketika jerebu. Langkah pencegahan seperti ini penting bagi melindungi kesihatan anak-anak,” katanya.

Jelasnya, keselamatan dan kesihatan anak-anak tetap menjadi keutamaan kita. Namun, setiap hari persekolahan juga mempunyai nilai yang besar terhadap perkembangan dan pembelajaran mereka.

“Saya berharap penyelarasan ini dapat memberikan lebih kepastian kepada ibu bapa, mengurangkan kesulitan yang dihadapi dan memastikan setiap keputusan pengoperasian sekolah dibuat dengan mengambil kira kesihatan serta kelangsungan pendidikan anak-anak secara seimbang,” katanya. -BH Online