KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima beberapa aset baharu yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), biarpun Belanjawan 2027 memberi penekanan khusus terhadap penyelenggaraan aset sedia ada.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menjelaskan perolehan aset-aset baharu kini di peringkat akhir penilaian dan penyediaan spesifikasi sebelum ia dimuktamadkan.
”Aset ini telah diluluskan di bawah RP1, namun pembeliannya perlu melepasi pelbagai fasa teknikal seperti penetapan spesifikasi dan penilaian terperinci.
“Pengumuman rasmi mengenai senarai aset baharu yang dibeli akan dibuat sebaik sahaja seluruh proses perolehan selesai,” katanya.
Beliau menjelaskan demikian pada sidang media selepas majlis Pemeteraian Nota Kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM)-Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Pelancaran Laluan Pengiktirafan Kemahiran Inisiatif MyBakat Veteran, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Setiausaha KSM, Datuk Azman Mohd Yusof.
Turut hadir, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Talent Corporation Malaysia Berhad (Talent Corp), Biruntha Mooruthi.
Dalam Belanjawan 2027, Kementerian Pertahanan (MINDEF) diperuntukkan RM22.11 bilion, meningkat RM361.95 juta atau 1.66 peratus berbanding peruntukan tahun sebelumnya.
Daripada jumlah keseluruhan itu, RM14.52 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus (OE), manakala RM7.58 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan (DE).
Selain itu, RM5.34 bilion diperuntukkan bagi pemerolehan dan penyelenggaraan aset pertahanan untuk memperkukuh keupayaan serta kesiapsiagaan ATM.
Mohamed Khaled menegaskan penyelenggaraan dan pembelian aset baharu terletak di bawah kategori perbelanjaan yang berbeza.
“Penyelenggaraan ditampung menerusi OE, manakala perolehan aset baharu pula disalurkan menerusi DE.
“Ketiadaan pengumuman terperinci mengenai aset baharu buat masa ini tidak bermakna MINDEF membelakangkan perolehan baharu. Segala perincian akan diumumkan secara rasmi selepas kelulusan muktamad dicapai,” jelasnya.-BH Online
