Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Agenda transformasi digital di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) akan menjadi pemangkin penting dalam memacu daya saing jangka panjang negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dengan memanfaatkan teknologi kerajaan (GovTech) dan inovasi digital, mutu perkhidmatan awam dan produktiviti dapat ditingkatkan, di samping membina ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.

”Usaha transformasi ini melangkaui sekadar penerimaan teknologi, sebaliknya menandakan usaha strategik untuk memanfaatkan kemajuan digital dalam menyokong keutamaan pembangunan negara dan kemajuan sosioekonomi.

”Pendigitalan akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan institusi awam, memperbaiki akses dan penyampaian perkhidmatan kerajaan serta membuka ruang baharu bagi inovasi produktiviti ekonomi,” katanya pada pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) oleh Bank Dunia hari ini.

Tambahnya, teknologi GovTech turut mempamerkan tahap kredibiliti dan akauntabiliti kerajaan, yang menjadi teras kepercayaan rakyat dan asas kepada perjalanan Malaysia menuju matlamat negara berpendapatan tinggi dengan pertumbuhan mampan.

Sementara itu, Pengarah bahagian Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia dan Filipina, Zafer Mustafaoglu memaklumkan, Indeks Kematangan GovTech (GTMI) Bank Dunia menunjukkan Malaysia mengatasi pencapaian negara rakan daripada Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan ASEAN dalam beberapa bidang.

Pencapaian dalam pembangunan platform awan, Government Service Bus (GSB) serta penerimaan teknologi disruptif menunjukkan aspirasi Malaysia sebagai peneraju transformasi digital di rantau ini.

Edisi ke-31 laporan MEM, bertajuk “From Bytes to Benefits: Digital Transformation as a Catalyst for Public Sector Productivity” itu mengetengahkan visi RMK13 untuk transformasi digital.-Berita RTM