Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hasil penyasaran subsidi akan dipulangkan kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif lain khususnya menambah baik infrastruktur termasuk membaik pulih kerosakan akibat bencana.

Perdana Menteri berkata, mengambil contoh kejadian banjir di Sabah baru-baru ini, impak akibat bencana itu amat besar membabitkan kerosakan institut perguruan, sekolah, klinik dan jalan raya.

Beliau berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi seperti diesel membantu kerajaan melaksanakan pemberian penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 kepada rakyat.

“Kita mampu memberikan hasil kembali kepada rakyat seperti penghargaan SARA. Walaupun RM100 implikasi kewangan kepada kerajaan itu RM2 bilion, ini dapat dilakukan kerana penyasaran subsidi minyak diesel dahulu.

“Sekarang penyasaran subsidi (RON 95) naik sedikit untuk bukan warganegara, (tetapi) turun bagi rakyat dan tentunya hasil pulangan itu akan kembali kepada rakyat,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa. 

Mengulas lanjut mengenai banjir di Sabah, Anwar berkata, beliau bersama Ahmad Zahid meninjau situasi di negeri itu dan menyaksikan kerosakan yang berlaku akibat bencana berkenaan.

“Cerun jalan, klinik dan sekolah semua harus diperbaiki. Jadi ada beban baharu yang kita harus manfaatkan daripada dana (penyasaran subsidi) ini untuk bantu rakyat terjejas.

“Tumpuan kita masih dalam bidang pendidikan, kesihatan dan prasarana asas,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON 95 turun kepada RM1.99 seliter hanya untuk kegunaan rakyat tempatan bermula 30 September ini.

Bagaimanapun, untuk warga asing, mereka perlu membayar pada harga RM2.60 seliter bermula tarikh sama.-BH Online