Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Kerajaan tidak berhasrat untuk meneruskan penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1) buat masa ini berikutan kos yang terlalu tinggi mencecah lebih RM300 juta setahun serta jadual perlumbaan dunia yang padat.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata jumlah perbelanjaan tersebut boleh dimanfaatkan secara lebih berkesan bagi pembangunan sukan lain di negara ini.

“Malaysia perlu mengikat kontrak penganjuran selama tiga hingga lima tahun dengan Liberty Media, yang melibatkan komitmen yuran hak penganjuran sekitar RM1.5 bilion untuk tempoh tersebut.

“Selain itu, kos penyelenggaraan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menelan belanja RM10 juta setahun. Jumlah besar ini lebih baik disalurkan kepada program pembangunan sukan negara,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, dengan kos RM300 juta setahun itu, kerajaan mampu menampung pelaksanaan pelbagai program penting termasuk pembangunan 20 jenis sukan, melibatkan 363 atlet podium serta hampir 10,000 atlet pembangunan bakat dengan kos keseluruhan hanya RM124 juta setahun.

“Dengan peruntukan sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga mampu membiayai program lain seperti Road to Gold dan Geran Padanan Sukan bagi tempoh 10 tahun,” jelasnya.

Tambah Hannah, persaingan dengan negara serantau seperti Singapura dan Thailand yang turut menganjurkan F1 akan menjejaskan pulangan ekonomi penganjuran di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak menutup pintu sepenuhnya jika ada pihak korporat yang berminat bekerjasama menanggung kos yuran penganjuran F1 pada masa hadapan.

“Buat masa ini, tumpuan SIC adalah kepada penganjuran kejohanan MotoGP yang menawarkan pulangan ekonomi lebih tinggi dengan kos penganjuran jauh lebih rendah,” katanya.-Berita RTM