Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) berpegang kepada dasar toleransi sifar terhadap amalan buli di tempat kerja dan tidak sesekali menormalisasikan budaya toksik dalam organisasi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan amalan buli di tempat kerja adalah gangguan sistemik yang meruntuhkan integriti organisasi, melemahkan motivasi dan menjejaskan kerjasama pasukan.

Kesan gangguan itu, katanya, amat parah apabila warga kerja berasa tertekan atau dipinggirkan hingga menyebabkan mutu penjagaan pesakit terancam.

“KKM juga tidak akan berkompromi terhadap pelaku, malah pegawai pengurusan tertinggi pernah dipecat jika disabit bersalah menyembunyikan kes.

“Mungkin tidak ramai yang ingat, tetapi pada penggal pertama saya memimpin KKM, saya mengambil tindakan terhadap seorang ketua jabatan di sebuah hospital. Akhirnya, beliau dipecat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja bagi anggota KKM di sini, hari ini.

KKM adalah kementerian pertama memperkenalkan panduan khusus bagi menangani kes buli.

Walaupun kedudukan peribadi individu berkenaan tinggi dalam hierarki perjawatan KKM, Dzulkefly tetap bertindak dan ia mencerminkan komitmen KKM menolak tabiat serta tingkah laku buli khususnya di tempat kerja.

Beliau berkata, sebanyak 430 aduan buli direkodkan menerusi sistem MyHealth setakat 31 Julai lalu dan setiap aduan disiasat dengan teliti berdasarkan prinsip keadilan, ketelusan dan perlindungan kerahsiaan, termasuk bagi pengadu dan pemberi maklumat.

“Saya tidak mahu sebarang kes dilaporkan secara culas atau diremehkan, khususnya oleh ketua jabatan,” katanya.

Dzulkefly memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya termasuk di bawah garis panduan baharu itu, bagi menjaga privasi dan maklumat diterima.

“Penting untuk memastikan mangsa atau pemberi maklumat dilindungi terlebih dahulu sebelum tindakan lain diambil,” katanya.

Dzulkefly turut menekankan budaya saling menegur dalam kalangan warga kerja supaya KKM menjadi organisasi yang dinamik, proaktif dan berdaya tahan.

“Budaya buli mesti dihentikan. Kita perlu mewujudkan suasana kerja selamat, penuh kasih sayang dan berteraskan nilai MADANI.

“Itu tanggungjawab bersama, bermula daripada kepemimpinan tertinggi hingga ke seluruh warga kerja,” katanya. – BERNAMA