Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU, 3 Julai – Malaysia mengorak langkah strategik menyatukan belia serantau melalui teknologi dan kemahiran menerusi penganjuran Cabaran Robotik Belia ASEAN 2025 (ASEAN Y-RoboC’25) yang berlangsung di sini, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, acara tersebut bukan sekadar pertandingan, tetapi platform yang menonjolkan kepentingan inovasi digital dalam persiapan tenaga kerja masa hadapan.

“Mereka boleh menumpukan bakat dan kemahiran melalui pertandingan seperti ini.

Setiap tahun Malaysia menghantar wakil ke pertandingan bukan sahaja di dalam, tetapi di luar negara juga. Pelajar TVET kita selalu menang peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ASEAN Y-RoboC’25, di sini.
 
Menurut Hannah, penyertaan belia dari seluruh Asia Tenggara membuktikan kesatuan yang terbentuk atas dasar inovasi digital dan perkongsian kepakaran, selari dengan tema ASEAN 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
 
Sebanyak 12 pasukan dari 10 negara ASEAN, termasuk Timor-Leste yang kini berstatus pemerhati, mengambil bahagian dalam cabaran robotik selama tiga hari tersebut dengan mempamerkan hasil ciptaan dan kebolehan teknikal masing-masing.
 
Cabaran itu berlangsung serentak dengan Hari Kerjaya TVET Institusi Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) Zon Timur 2025.
 
Program berkenaan turut menjadi antara agenda utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sempena Kepengerusian ASEAN 2025.-Berita RTM