Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGE TOWN, 26 Jun- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang mencari dana tambahan sebanyak RM1 bilion bagi melaksanakan beberapa projek mega air di negeri ini menjelang 2030.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, anggaran perbelanjaan modal PBAPP bagi tahun ini sahaja adalah sebanyak RM86.6 juta, yang melibatkan kerja-kerja penaiktarafan infrastruktur bekalan air sedia ada.

Menurut beliau, dua projek utama di bawah Pelan Induk Bekalan Air Pulau Pinang 2030 (WCP 2030) telah diluluskan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) melalui kaedah pajakan jangka panjang kepada PBAPP, dengan nilai keseluruhan hampir RM1 bilion.

“Syarikat masih perlu mencari baki RM1 bilion untuk melaksanakan projek-projek lain yang turut disenaraikan dalam WCP 2030,” katanya.

Chow yang juga Pengerusi PBA Holdings Berhad (PBAHB) berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-23 syarikat itu hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata permintaan air bersih di negeri itu dijangka mencecah 1,532 juta liter sehari menjelang tahun 2030, dan PBAPP sedang merangka pelbagai mekanisme bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna.

Selain itu, pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah juga dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada pengguna air di Pulau Pinang.-Berita RTM