Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jasin: Barisan Nasional (BN) terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan berkaitan agihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bagaimanapun, Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia mesti dibawa ke meja rundingan bagi memuaskan hati kedua-dua pihak dan akan dirunding secara teliti bagi mengelakkan pertindihan di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi.

“Kita sangat menghormati kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing sudah mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi pada PRN kali ini, namun keputusan mengenai perkara itu akan dimuktamadkan menerusi perbincangan yang diadakan antara kedua-dua gabungan parti ini.

“Serentak dengan itu juga, kita akan berbincang dengan beberapa parti tempatan supaya mengelakkan pertindihan berlaku dalam PRN ke-17 ini,” katanya selepas menghadiri perasmian Kompleks Dakwah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI di sini hari ini.

Kelmarin, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menuntut sekurang-kurangnya 13 kerusi untuk ditandingi pada PRN Sabah dan meminta Perdana Menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang dengan rakan gabungan Kerajaan Perpaduan bagi berdepan pilihan raya berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, perbincangan mengenai perkara itu sudah dimulakan dan ia menjurus kepada kesepakatan untuk memperincikan kawasan yang dimenangi BN pada PRN lalu.

“Dulu kita menang 14 kerusi di Sabah, manakala dalam kategori tier 2 (kerusi dijangka boleh menang), kita juga sudah mengadakan penelitian terhadap peluang kemenangan di kerusi terbabit.

“Ia akan dimuktamadkan sedikit masa lagi selepas rundingan terakhir bersama rakan parti komponen termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti politik tempatan yang lain,” katanya.-MyMetro Online