GAZA, 22 Mei – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan kira-kira 90 buah trak bantuan telah dihantar masuk ke Gaza, menjadikannya penghantaran pertama sejak awal Mac lalu.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric, berkata barangan bantuan itu dikumpul dan dihantar melalui lintasan Kerem Shalom, tiga hari selepas Israel membenarkan kemasukan bantuan secara terhad.
Sebelum ini, Israel mengumumkan kebenaran kemasukan trak bantuan PBB yang membawa tepung, makanan bayi dan bekalan perubatan.
Namun barangan itu tidak bergerak keluar dari zon pemunggahan.
Menurut Dujarric, kelewatan berlaku kerana pasukan PBB hanya dibenarkan melalui satu laluan yang sesak, tidak selamat dan berisiko tinggi berlaku penjarahan, susulan kekurangan bantuan yang berpanjangan.
Beliau bagaimanapun berharap barangan yang dihantar itu akan sampai ke gudang PBB di Gaza sebelum diagihkan kepada penduduk yang kini berdepan ancaman kebuluran.
Ketua bantuan kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, pula menyifatkan jumlah trak bantuan yang dibenarkan masuk sebagai terlalu kecil berbanding keperluan mendesak di Gaza.
Ketika gencatan senjata selama 42 hari pada awal tahun ini, sekitar 4,000 trak bantuan memasuki Gaza setiap minggu.
Sebelum perang tercetus pada 7 Oktober 2023, kira-kira 500 trak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza setiap hari.-AFP