PUTRAJAYA: Deklarasi Kuala Lumpur (KL) yang akan dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN minggu depan bakal menjadi rujukan utama hala tuju masa depan rantau ini, khususnya dalam aspek tadbir urus, transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, deklarasi berkenaan adalah hasil perbincangan menyeluruh yang membabitkan pemimpin politik, tokoh akademik dan pegawai kanan kerajaan, sekali gus mencerminkan komitmen ASEAN untuk bergerak daripada retorik kepada pelaksanaan tindakan lebih konkrit.
Kita bentangkan gambaran menyeluruh mengenai perkara yang perlu diberi perhatian seperti tadbir urus dan pembangunan digital dan ia antara bidang utama yang akan diketengahkan dalam Deklarasi KL.
“Bagaimanapun, keamanan dan keselamatan kekal sebagai asas penting kemajuan serantau, dan deklarasi (KL) memberi penekanan terhadap bidang strategik bagi menjamin pembangunan jangka panjang ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan Berita & Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima, Jasbant Singh; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan NCA Media Prima dan Pengarang Kumpulan New Straits Times, Farrah Naz Abd Karim; Pengarang Kumpulan NCA Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Zulkifli Jalil dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, draf dokumen deklarasi itu dibincangkan dalam kalangan pemimpin ASEAN baru-baru ini dan menerima persetujuan untuk diteruskan ke peringkat pelaksanaan.
“Ada konsensus yang kuat, draf sudah diteliti dan dipersetujui, kini yang penting ialah komitmen pelaksanaan dalam kalangan negara anggota,” katanya.-BH Online