Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil wakil beberapa syarikat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berlakunya penyeludupan barang berbahaya (DG) melalui kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan dijalankan secara menyeluruh termasuk meneliti aspek prosedur sedia ada berkaitan pengurusan keluar masuk barangan ke dalam pesawat.

Beliau berkata, aktiviti itu dipercayai dilakukan dengan memalsukan ikrar kandungan sebagai barangan isi rumah bagi mengelak semakan ketat pihak berkuasa.

“SPRM tidak menolak kemungkinan memanggil beberapa agensi penguat kuasa yang terbabit, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam aspek keselamatan penumpang dan barangan yang dibawa masuk melalui pintu masuk lapangan terbang di seluruh negara.

“Siasatan ini turut merangkumi usaha mengenal pasti sama ada wujud sebarang cubaan merasuah pegawai agensi penguat kuasa di KLIA oleh mana-mana pihak berkepentingan, khususnya bagi mengelak dikenakan tindakan,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, media melaporkan siasatan SPRM berhubung dakwaan penyeludupan bahan berbahaya melalui pintu kargo KLIA yang dipercayai dilakukan dengan menyamar kandungan sebagai barangan isi rumah.

Kes berkenaan mencetuskan kebimbangan susulan dua insiden kebakaran berlaku di lapangan terbang berkenaan tahun lalu, dipercayai berpunca bahan kimia yang tidak diisytiharkan mengikut prosedur.

Siasatan awal mendapati kelemahan daripada segi pengawasan dan tatakelola memberi ruang kepada aktiviti penyeludupan, termasuk kegagalan dalam proses pengisytiharan DG oleh syarikat penghantar.

Dalam pada itu, Azam berkata penelitian dilaksanakan terhadap aspek tatakelola pengurusan barangan bagi memastikan setiap prosedur dipatuhi tanpa sebarang ruang kelemahan yang boleh dimanipulasi.

“Pasukan siasatan tidak menolak kemungkinan untuk memanggil lebih ramai individu sebagai saksi pada peringkat seterusnya bergantung kepada maklumat baharu serta keperluan siasatan,” katanya.

Menurutnya, siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Semalam, BH melaporkan SPRM sudah memanggil lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Mereka dipanggil terdiri individu yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dan tidak langsung dengan pengurusan keluar masuk barangan melalui pintu masuk kargo pesawat.-BH Online