Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Sebanyak 31,517 kes bankrap direkodkan dari tempoh 2021 hingga Mac lalu dengan hampir sebahagiannya berpunca akibat pinjaman peribadi.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata daripada jumlah itu juga, 15 peratus atau 4,704 kes terdiri daripada mereka yang berusia 34 tahun ke bawah.

“Sebanyak 14,582 kes atau 46 peratus adalah disebabkan puncanya pinjaman peribadi, manakala 4,704 kes daripada jumlah keseluruhan iaitu 15 peratus membabitkan mereka yang berusia 34 tahun ke bawah.

“Oleh sebab itu, kesedaran kewangan ini perlu kita tingkatkan dan dalam masa yang sama, apabila ada Dasar Peluang Kedua (DPK) ini, ia membolehkan mereka yang telah terjebak atau terkesan dalam isu bankrap ini dapat memulakan kembali kehidupan dari sudut kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Program DPK 3.0 – Pelepasan Fast Track 2026 di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia, Datuk Ishak Bakri dan Pengarah Insolvensi Negeri Johor, Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Akmal Nasrullah berkata, program berkenaan adalah sebahagian ikhtiar daripada kerajaan untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai pengurusan kewangan ataupun literasi kewangan.

Menurutnya, selain menguruskan isu kebankrapan, pada masa sama, kerajaan juga perlu memikirkan cara untuk mencegah perkara itu berlaku dengan memberi kesedaran mengenai kewangan yang perlu dipupuk sejak awal.

“Untuk program kali ini, ia merupakan kesinambungan dasar kita untuk memberi peluang kedua kepada mereka yang sebenarnya telah diisytiharkan bankrap.

“Cuma, untuk program bagi fasa ini, ia tertumpu kepada empat kumpulan bankrap iaitu mereka dengan status sebagai ibu atau bapa tunggal; peminjam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS); mangsa penipuan kewangan atau pembeli rumah projek terbengkalai,” jelasnya.

Sementara itu, Ishak dalam ucapannya berkata, sejak Program DPK – Pelepasan Fast Track dilancarkan pada 16 Februai lalu, sehingga hari ini, Jabatan Insolvensi Negeri Johor menerima 45 permohonan terdiri daripada empat kategori bankrap yang difokuskan.

“Sebanyak 31 permohonan dari kategori ibu atau bapa tunggal; 10 daripada kategori PMKS; seorang mangsa penipuan dan tiga daripada kategori rumah terbengkalai.

“Semua permohonan ini sedang dalam pertimbangan dan melalui proses yang sewajarnya,” katanya.-BH Online