SEREMBAN: Kerajaan akan mewartakan kadar had laju maksimum di kawasan sekolah kepada 30 kilometer sejam (km/j) daripada 50 km/j bagi meningkatkan keselamatan khususnya membabitkan pelajar sekolah dalam masa terdekat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata perkara itu dalam proses digazetkan, tetapi keputusan dasar sudah dibuat melalui Jawatankuasa Kabinet Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya.
Katanya, langkah itu diambil untuk mewujudkan zon sekolah yang selamat kerana ia mempunyai sejarah kemalangan jalan raya, terutama membabitkan pelajar yang berjalan kaki atau berbasikal.
“Dalam jawatankuasa Kabinet berkaitan keselamatan dan kesesakan jalan raya, kita sudah membuat keputusan dasar untuk merendahkan had kelajuan di semua kawasan zon sekolah kepada 30 km/j sejam.
“Langkah ini diambil susulan satu data saintifik data yang dibuat kajian, iaitu kalau ia dapat dikurangkan kepada 30 km/j, risiko kematian akibat daripada kemalangan agak rendah.
“Kajian itu turut menyatakan setiap pertambahan 10 km/j kelajuan akan meningkatkan risiko kematian pelajar,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Malaysia Kali Ke-61, di Hotel Royal Chulans, di sini, petang tadi.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkuta, Datuk Jana Santhiran Muniayan.
Mengulas lanjut, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata pelaksanaan had laju itu memerlukan kerjasama kementerian lain dan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama dari segi menyediakan beberapa kemudahan berkaitan.null
Beliau berkata, selain mewartakan had kelajuan maksimum, pihak berkuasa juga perlu menyediakan kemudahan dan keperluan infrastruktur jalan raya di kawasan zon sekolah seperti papan tanda amaran dan garisan kuning, agar pengguna jalan raya sedar dan memperlahankan kenderaan mereka.
Loke berkata, secara purata kemalangan maut di kawasan sekolah adalah 70 kes setiap tahun.
Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat MKJR hari ini memberi fokus kepada inisiatif keselamatan jalan raya berasaskan masyarakat tempatan antaranya program My Safe Road, iaitu intervensi di kawasan berisiko tinggi untuk meminimumkan kematian dan kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya.
“Selain itu, MKJR juga akan menumpukan kepada Zon Sekolah Selamat dan Program Fellowship Kepimpinan Keselamatan Jalan Raya, untuk melahirkan pemimpin muda yang boleh menerajui inisiatif keselamatan jalan raya berasaskan Pendekatan Sistem Selamat,” katanya.
Loke berkata, pendekatan itu terbukti berkesan dalam mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di negara maju, namun ia memerlukan anjakan paradigma iaitu bukan sekadar menyalahkan sikap pemandu tetapi turut memberi penekanan kepada penambahbaikan sistem secara menyeluruh termasuk aspek keadaan jalan kenderaan had kelajuan dan pematuhan undang-undang.-BH Online