KUALA LUMPUR: Tujuh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang didapati terbabit buli fizikal termasuk bersubahat dengan perbuatan itu akan ditamatkan pengajian.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata keputusan itu berdasarkan syor dibuat Jawatankuasa Disiplin MRSM.
“Keputusan kes buli MRSM Jawatankuasa Disiplin Maktab: Tujuh pelajar didapati terbabit. Dua (daripadanya) terbabit buli fizikal. Lima subahat.
“Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian daripada MRSM,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Sebelum ini tular video yang mengaitkan perbuatan buli membabitkan pelajar MRSM.
Rakaman video berdurasi 1.31 minit tersebar di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.
Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada punggung, namun tidak dapat dipastikan ia cuma suatu gurauan atau perbuatan buli.
Berikutan itu, Asyraf Wajdi semalam dilaporkan berkata pihaknya akan menyiasat video tular dikaitkan dengan perbuatan buli membabitkan pelajar di MRSM.
Beliau juga menegaskan tindakan tegas bakal diambil sekiranya kejadian dalam rakaman video berkenaan adalah perbuatan buli yang memang berlaku di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) itu.-BH Online