Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAPAH: Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir diumum sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengumuman dibuat Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad semasa Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning di sini, bersempena Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tapah di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain kepimpinan tertinggi BN dan Pakatan Harapan (PH) bersama lebih 5,000 jentera dan penyokong parti.

Berdasarkan biodata dikongsi kepada media, Mohamad Yusri, 54, yang memulakan kerjaya sebagai guru pada 1992, memiliki Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Beliau kemudian beralih kerjaya sebagai Pensyarah di IPG Kampus Ipoh pada 2007 dan berkhidmat di sana sehingga sekarang.

Mohamad Yusri yang juga Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah, mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52.

Saarani berkata, keputusan memilih Mohamad Yusri itu dibuat selepas perbincangan dilakukan bersama Ahmad Zahid.

“Secara kebetulan ketika menghantar senarai enam nama untuk dinilai sebagai calon, Ahmad Zahid ketika itu mengatakan mahu melakukan istikharah terlebih dulu di tanah suci susulan mengerjakan umrah.

“Datuk Seri Presiden (Ahmad Zahid) kata beliau hendak pergi umrah (dan berkata) Insya-Allah dia akan istikharah dahulu untuk memilih calon yang berkaitan,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap, Saarani berkata, BN menyasarkan sekurang-kurangnya 18,000 undi dalam PRK DUN Ayer Kuning.

Beliau berkata, ia berpandukan kerjasama gabungan BN dan PH dalam memikat hati 31,897 pengundi berdaftar di DUN terbabit, selain trend pada pilihan raya lalu apabila yang menyaksikan 75 peratus pengundi keluar mengundi.

“Rekod Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) menunjukkan BN memperoleh 9,088 undi, manakala PH 6,875 undi di Ayer Kuning… jika dicampur menjadikan 15,000 undi. Tapi Jawatankuasa Pilihan Raya peringkat Tapah kata itu baharu (melalui usaha jentera) di Ayer Kuning sahaja.

“Namun PRK kali ini, semua (jentera) yang mari ramai-ramai dari serata pelusuk negara, takkan hanya 15,000. Maka kita hendak capai 18,000 (undi) sekurang-kurangnya, malah lebih lagi jika berbekalkan semangat dan kekuatan daripada rakan (jentera) yang datang dari serata negara,” katanya.- BH Online