Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAPAH: Malaysia akan terus menjual minyak sawit ke Amerika Syarikat (AS) biarpun tarif timbal balas sebanyak 24 peratus yang dikenakan kerajaan negara itu ke atas Malaysia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, arahan penjualan minyak sawit Malaysia kepada AS itu diberikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta dipersetujui sendiri oleh Ahmad Zahid.

“Tidak ketinggalan Yang Berhormat Datuk Seri Johari Ghani, beliau akan terus menjual minyak sawit di AS walaupun tarif yang akan dikenakan itu. Ianya arahan Perdana Menteri kepada beliau dan saya juga setuju. 

“Harus menjual dengan lebih banyak kepada AS… Bagaimana hendak buat, itu terletak pada kebijaksanaan beliau,” kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Command Centre BN Perak di Dewan Serbaguna Kg Tersusun Hj Tahir, Temoh di sini hari ini.

Hadir sama, Johari; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, permasalahan kenaikan tarif yang dikenakan oleh AS tidak wajar dipolitikkan khususnya semasa atau mendekati kempen PRK DUN Ayer Kuning, memandangkan ia adalah isu sejagat yang menekan negara secara keseluruhan.

Ahmad Zahid, sebaliknya menggesa rakyat tanpa mengira latar parti bersatu hati dalam mendepani masalah yang dikenakan oleh pentadbiran AS itu yang tidak terhad hanya kepada Malaysia, malah meliputi rantau Asean serta global.

“Ini adalah masalah yang dihadapi oleh negara hatta kepada pembangkang sekali pun, memandangkan ia adalah tekanan yang diberikan oleh pentadbiran AS. Sepatutnya demi kepentingan negara kita harus bersatu hati untuk menyantuni dan mendepani masalah ini.

“Jangan jadikan Ayer Kuning ini sebagai tempat untuk melempiaskan amarah dengan berbagai isu, memandangkan isu ini adalah isu dikenakan pada kita rakyat Malaysia di seluruh negara tanpa mengira latar parti politik agama, latar belakang dan keturunan. 

“Kita harus bersama-sama untuk mendokong visi Perdana Menteri untuk menentukan bahawa dalam keadaan tekanan ini seluruh rakyat Malaysia termasuk parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin parti politik harus bersama-sama satu fikrah untuk terus membela negara kita yang diberikan tekanan atas tarif itu,” katanya.

Sementara itu dalam sidang media ketika mengulas mengenai Mohamad Yusri yang diumum sebagai calon mewakili BN dalam PRK DUN Ayer Kuning, Ahmad Zahid berkata, latar kerjaya di samping pendidikan calon itu dalam bidang berkaitan agama diharap memberi kelebihan buat kemenangan BN.

“Alhamdulillah Ustaz Mohamad Yusri terpilih dan Insya-Allah pada kali ini seorang yang berlatar belakangkan agama dan mempunyai kelulusan yang baik, mudah-mudahan ianya akan menjadi kelebihan kepada beliau,” katanya.

BN hari ini mengumumkan Mohamad Yusri yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah serta Setiausaha BN Parlimen Tapah sebagai calon mewakili BN dalam PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.-BH Online