Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mewujudkan satu pasukan petugas bagi mengumpul maklum balas daripada semua pihak berkepentingan berhubung kesan tarif timbal balik 24 peratus dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan Malaysia.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu untuk memastikan eksport dan pelaburan Malaysia tidak terkesan teruk akibat tindakan unilateral AS itu.

“Esok MITI akan berjumpa wakil badan industri dan persatuan pengeksport. MITI juga akan berlibat urus dengan kementerian dan agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan sebagainya.

“Kita akan mengambil pendekatan menyeluruh dalam mempertimbangkan pelbagai pilihan yang ada,” katanya pada sidang media khas mengenai tarif AS di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat khas bersama Menteri Ekonomi ASEAN pada 10 April ini bagi membincangkan implikasi tarif AS ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau, kestabilan makroekonomi dan respon bersepadu ASEAN.

“Selepas itu, pemimpin ASEAN akan bertemu untuk membincangkan hala tuju ASEAN bagi menangani dan mengurangkan potensi gangguan kepada perdagangan serantau, rangkaian rantaian bekalan dan aliran pelaburan ke rantau ini.

“Pada masa sama, pembabitan strategik peringkat tinggi dengan AS akan diteruskan. Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-AS (TIFA) akan dimanfaatkan. 

“MITI juga akan mempertimbangkan mengadakan perjanjian perlindungan teknologi untuk melindungi eksport semikonduktor dan aeroangkasa Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga akan berunding dengan AS bagi pengecualian sektor.

“Pagi ini, saya bertemu Duta Besar AS dan rundingan seterusnya akan dibuat. Buat masa ini, beberapa pengecualian melindungi sektor semikonduktor (kategori eksport terbesar Malaysia ke AS).

“Bahan mineral kritikal, farmaseutikal dan beberapa produk berkaitan tenaga juga dikecualikan tetapi banyak sektor lain akan terjejas seperti mesin dan peralatan, perabot, getah serta plastik,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia komited sepenuhnya untuk mencapai penyelesaian yang akan mengekalkan akses pasaran, menarik pelaburan asing berterusan dan menyokong kesejahteraan pekerja serta perniagaan Malaysia.

“Buat masa ini, Malaysia tidak akan mengambil sebarang tindakan timbal balas,” katanya.-BH Online