SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan nilai kerosakan keseluruhan membabitkan kediaman terjejas dalam kejadian letupan paip gas di Putra Heights Selasa lalu mencecah RM65.4 juta.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam mesyuarat pagi tadi hasil cerapan awal nilai kerugian akibat kerosakan bagi kediaman terjejas termasuk kos untuk pendawaian elektrik.
Bagaimanapun, katanya penilaian kerosakan kepada infrastruktur awam dan kawasan berdekatan sedang berjalan.
“Dengan tindakan pantas pihak bomba juga pasukan keselamatan kita, serta usaha penduduk, kita dapat menyelamatkan RM285.9 juta,” katanya.
Tambah beliau, sehingga semalam sejumlah 151 rumah disahkan selamat dan pemilik rumah ini sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Pasukan sukarelawan seperti Sukarelawan Selangor (SERVE) dan Team Selangor telah turun ke rumah-rumah ini untuk membantu proses pembersihan dengan kebenaran pemunya rumah, agar mereka dapat mula kembali ke kehidupan harian dengan lebih pantas,” katanya.
Dalam pada itu, katanya hari ini 28 pelajar yang menetap di pusat pemindahan sementara (PPS) diberikan pengangkutan percuma ke sembilan sekolah dengan kerjasama kenderaan Prasarana Sdn Bhd, serta diselaraskan Yayasan Islam Darul Ehsan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor serta pasukan sukarelawan.
“Selain itu, pihak Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) akan memberikan bantuan RM500 kepada 265 pelajar bagi membolehkan mereka membeli keperluan asas yang musnah akibat kebakaran.
“Pihak JPN juga akan memulakan usaha sokongan moral seperti kaunseling khusus kepada pelajar terkesan trauma akibat mengharungi tragedi kejadian kebakaran tempoh hari.
“Kerajaan negeri melalui JPN juga akan menghantar guru ke PPS bagi membantu pelajar meneruskan sesi pembelajaran,” katanya.
Sementara itu, JBPM Selangor sudah melakukan pemeriksaan dan siasatan terhadap 437 rumah dikenal pasti sebagai angka muktamad oleh pasukan teknikal.
“Kita letakkan rumah-rumah ini dalam tiga kategori iaitu musnah sepenuhnya dengan kebakaran struktur melebihi 40 peratus, separa musnah kebakaran struktur kurang 40 peratus dan terkesan tetapi tidak terbakar.
“Maknanya dari keseluruhan itu, bagi kategori pertama sebanyak 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya, 81 ditakrifkan separa musnah dan 57 lagi terbakar tetapi tidak mengalami kebakaran kepada struktur. Baki 218 rumah diperiksa tidak terjejas.
“Kita juga sudah membesarkan kawasan terkesan dari hari pertama adalah 290 meter persegi atau radius. Kali ini kira-kira 325 meter persegi pemeriksaan dilakukan.
“Sehingga hari ini, 151 rumah disahkan selamat dan pemilik rumah ini dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing… mungkin ada kerosakan kecil harus ditanggung, perlu dilaksanakan pembaikan.
“Mesyuarat hari ini juga memuktamadkan senarai mangsa dan sehingga jam 6 petang semalam 613 isi rumah didaftarkan dengan PPS daripada keseluruhan 437 rumah termasuk yang disewakan bilik,” katanya.-BH Online