Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk melengkapkan Pelan Penyesuaian Nasional (MyNAP) menjelang tahun depan, memfokuskan pada kedua-dua strategi mitigasi dan penyesuaian.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ini selaras dengan matlamat untuk meningkatkan ketahanan dan membina kapasiti bagi menangani cabaran perubahan iklim.

“Tahun depan, kami berharap dapat melengkapkan pelan penyesuaian kebangsaan.

“Saya fikir ini sangat kritikal. Walaupun rang undang-undang perubahan iklim akan merangkumi kedua-dua mitigasi dan penyesuaian, banyak daripadanya akan memberi tumpuan kepada mitigasi.

“Saya fikir mitigasi sebagai sebuah negara untuk Malaysia, sumbangan kita kepada pelepasan secara global adalah agak kecil. Per kapita, kita tidak begitu hebat. Kita harus jujur tentang itu.

“Dengan populasi sebanyak 30 juta dan sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi, kami masih bukan penyumbang utama dalam konteks itu. 

“Namun, penekanan lebih diberikan kepada penyesuaian, kerana kami menyedari bahawa perubahan iklim adalah suatu kenyataan. Jika dilihat kepada corak cuaca sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bukan hanya banjir yang sering mendapat tumpuan, tetapi juga gelombang panas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbincangan santai bersama Pengerusi Majlis di Climate Governance Malaysia Dr Gary Theseira di Sidang Kemuncak Tadbir Urus Iklim Nasional (NCGS) 2025 di Sasana Kijang, di sini, hari ini.

Dengan tema, Transition Finance:The Foundation of the Transition Economy, NCGS 2025 akan berlangsung hari ini hingga 11 April, menghimpunkan penggubal dasar, peneraju industri dan pakar global untuk menonjolkan kewangan peralihan sebagai asas masa depan ASEAN yang mampan.

Nik Nazmi berkata pelan MyNAP akan menggariskan strategi dan langkah untuk membantu negara menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim.– BERNAMA