KUALA LUMPUR: Lebih setengah juta rakyat dewasa di Malaysia dilaporkan menghidap sekurang-kurangnya empat penyakit tidak berjangkit (NCD) utama secara serentak, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, krisis kesihatan awam dalam negara kini semakin membimbangkan apabila NCD seperti diabetes, hipertensi, obesiti dan penyakit jantung menjadi ancaman utama, menggantikan penyakit berjangkit.
“Semua data berkenaan diperoleh daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), menunjukkan trend semasa yang semakin meruncing, antaranya lebih setengah juta rakyat dewasa menghidap sekurang-kurangnya empat NCD utama serentak.
“Selain itu, satu daripada enam orang dewasa dikesan menghidap diabetes, manakala satu daripada tiga mengalami tekanan darah tinggi,” katanya pada sidang media di Majlis Perasmian Buku Resepi “Mai Kurang” dan Rewang bersama Komuniti, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata dari sudut tabiat pemakanan, NHMS 2024 turut mendedahkan hampir separuh atau 47 peratus orang dewasa mengambil gula melebihi paras disarankan iaitu lebih 7.5 sudu teh sehari.
Lebih membimbangkan, katanya tiga daripada empat orang dewasa pula mengambil garam secara berlebihan dengan purata sekitar 7.3 gram sehari, jauh melepasi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kurang daripada 5 gram sehari.
“Situasi ini bukan sekadar isu kesihatan individu, sebaliknya menjadi ‘bom jangka’ kepada ekonomi negara.
“Laporan menunjukkan NCD mengakibatkan kerugian ekonomi sekitar RM64.2 bilion setahun. Daripada jumlah itu, kos langsung penjagaan kesihatan mencecah RM12.4 bilion,” jelasnya.
Tambah beliau, KKM mengambil langkah mengaplikasi pendekatan “behavioural insight” berasaskan teori Herbert Simon yang menjelaskan bahawa manusia tidak sentiasa membuat keputusan secara rasional.
“Tiga cabaran utama dikenal pasti ialah rasionaliti terhad iaitu kekangan masa dan maklumat, kecenderungan memilih pilihan mudah walaupun kurang sihat, serta pengaruh persekitaran terhadap pilihan makanan.
“Sehubungan itu, usaha mengubah tingkah laku tidak boleh bergantung kepada kempen kesedaran semata-mata, sebaliknya perlu mewujudkan persekitaran yang memudahkan pilihan sihat,” katanya.
Buku resipi ‘Mai Kurang’
Menurut Dzulkefly, dalam konteks itu pelancaran buku resipi ‘Mai Kurang’ dilihat antara intervensi penting untuk menyokong perubahan berkenaan dan dihasilkan hasil kerjasama pakar dietetik dan cef profesional dalam tempoh lebih dua bulan.
Menurutnya, resipi diketengahkan bukan sahaja mengekalkan rasa enak, malah mengambil kira aspek kesihatan secara menyeluruh merangkumi amalan memasak sihat, diet seimbang dan gaya hidup sihat.
“Sebanyak 30 resipi diperkenalkan dalam edisi pertama dan kami menyasarkan 150 resipi dikeluarkan secara berperingkat yang akan melalui penilaian ketat bagi memastikan piawaian kesihatan dipatuhi.
“Buku ini diedarkan secara percuma dengan capaian digital melalui kod QR, selain turut dipromosikan di media sosial dalam bentuk video bagi meluaskan capaian kepada orang ramai.
“Setakat ini, kira-kira 130 penyedia katering telah menyertai inisiatif itu, dengan pelaksanaan dijangka diperluas ke seluruh negara bagi menjadikannya agenda nasional pembudayaan pemakanan sihat,” jelasnya.-BH Online
