Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman, sesuai dengan kriteria dan kredibiliti bekas hakim itu bagi mengetuai badan bebas berkenaan sebagai menguatkan usaha kerajaan dalam membasmi amalan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Perdana Menteri berkata, pelantikan Abdul Halim yang akan menyandang jawatan itu selama dua tahun menggantikan Tan Sri Azam Baki dibuat hasil perbincangan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semalam.

Beliau berkata, ia masih terlalu awal untuknya memberi pendedahan mengenai Abdul Halim tetapi percaya beliau mampu menggalas tanggungjawab dengan keupayaan dimilikinya.

“Pada waktu sekarang masih terlalu awal untuk (saya) beri pendedahan (mengenai pelantikan Abdul Halim) tetapi dia dari badan kehakiman dan tidak terbabit dalam apa-apa perniagaan besar dan sebagainya serta apa-apa parti politik.

“Jadi saya fikir (kriteria itu) adalah sesuai untuk menakhodai (mengetuai) dan terus meningkatkan keupayaan (badan bebas ini),” katanya ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu itu.

Terdahulu, Anwar hadir pada Majlis Perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kubang Semang di Yayasan Aman, Penanti, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap Azam yang menjalankan tugas sangat baik sepanjang menerajui SPRM.

Terdahulu media melaporkan Abdul Halim dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu berkuat kuasa 13 Mei ini selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim.

Abdul Halim memiliki pengalaman luas dalam sistem perundangan negara dengan jawatan terakhirnya sebelum ini adalah Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam dan banyak mengendalikan kes jenayah.-BH Online