Sorting by

×
Malaysia's digital communications minister Ahmad Fahmi Fadzil speaks during a news conference in Putrajaya on December 7, 2022. (Photo by Zahim Mohd/NurPhoto via Getty Images)
Hantar Berita Ini:

Ekonomi digital memainkan peranan penting dalam konteks kerangka Ekonomi MADANI dan hala tuju masa depan ekonomi negara yang boleh mewujudkan pasaran lebih luas kepada rakyat Malaysia, tanpa terikat dengan hanya pasaran tempatan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata sektor berkenaan bukan hanya menyediakan pasaran lebih luas, malah boleh diusahakan mana-mana rakyat Malaysia di mana jua lokasi dengan syarat mempunyai akses internet yang stabil.

Justeru, katanya adalah menjadi tumpuan utama pihaknya di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk menyediakan infrastruktur yang lengkap bagi mengurangkan kesenjangan digital, pakej internet yang stabil dan murah, selain memberi pemahaman dari segi literasi digital kepada rakyat.

“Saya bagi contoh, dua hari lepas saya di Felda Soeharto, di sini ramai anak muda berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan, tetapi dengan internet dan ekonomi digital, sebenarnya ada cara mereka untuk dapat pendapatan tinggi tanpa meninggalkan kampung halaman.

“Jadi dengan ekonomi digital ada cara untuk kita kurangkan migrasi ke bandar tetapi tak mengurangkan peluang mereka memajukan diri dan keluarga serta mendapatkan pendapatan yang baik,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di RTM1, pagi ini.

Beliau berkata kerajaan menjangkakan sektor ekonomi digital yang setakat hari ini menyumbang 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar mampu meningkat kepada 25.5 peratus pada 2025.

Fahmi percaya dengan kerangka Ekonomi MADANI yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, 27 Julai lepas, kebolehpasaran produk tempatan di bawah inisiatif dirancang kerajaan bagi sektor ekonomi digital boleh menjangkau sekurang-kurangnya 652 juta rakyat di Asia Tenggara.

Mengenai akses internet seluruh negara pula, beliau berkata setakat 31 Julai lalu, sejumlah 5,515 daripada 7,509 tapak 5G yang dirancang telah disiapkan meliputi 66.8 peratus liputan di kawasan berpenduduk (CoPA), manakala liputan 4G, meliputi 96.2 peratus CoPA seluruh negara.

Menurutnya bagi kawasan yang tidak diliputi akses internet, ada sejumlah daripadanya boleh dipasang dengan menara telekomunikasi dan gentian fiber, namun bagi tempat yang terlalu jauh atau berbukit bukau boleh gunakan Internet satelit, setakat ini terdapat empat penyedia internet satelit dalam negara termasuk Starlink.

Katanya, selain pemasangan peranti Starlink di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Kuala Pilah baru-baru ini, pihak kementerian turut akan memasang satu lagi peranti yang sama di sebuah kampung Orang Asli, hari ini sebagai pembuktian konsep.

Selain itu pihak kementerian turut akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain untuk mendapatkan lokasi atau kawasan yang jauh dan belum ada menara telekomunikasi untuk menilai keperluan peranti satelit Starlink.