Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seremban: Kementerian Pengangkutan (MOT) menjangkakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) baharu dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Menterinya, Anthony Loke, berkata semua tren baharu itu sedang disiapkan, namun dua tren pertama akan tiba dari China bulan depan, manakala yang lainnya sedang dibina di Malaysia melalui kilang di Batu Gajah, Perak.

“Kita menjangkakan penghujung tahun ini, secara beransur-ansur tren ETS baharu akan beroperasi. Jadi, stesen di Seremban akan mengalami peningkatan frekuensi, kekerapan dari Seremban ke Johor, manakala ke Kuala Lumpur atau ke utara juga akan meningkat.

“Ketika ini, kita (kerajaan) melanjutkan perkhidmatan tren sedia ada ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Segamat,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat dan Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Seremban di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan telah memperoleh 10 set ETS baharu yang dijangka memulakan operasi pada suku pertama tahun ini.-MyMetro Online