PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyokong sebarang bentuk perdebatan yang memfokuskan kepada perbezaan agama perlu dihentikan.
Beliau berkata, ini kerana perdebatan sebegitu berisiko mencetus ketegangan dan mengeruhkan hubungan masyarakat berbilang agama di negara ini.
“Saya setuju dengan saranan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang yang mana kementerian itu mahukan perpaduan dan tidak mahu perpecahan berlaku dalam kalangan masyarakat.
“Saya juga pernah diajak berdebat melibatkan agama, namun menolak,” katanya kepada pemberita pada Program ERAT Ramadan dan QuranHours di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.
Program kali kedua ini dianjurkan Suruhanjaya Integriti dengan kerjasama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Terdahulu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, membatalkan hasrat debat berkaitan agama dengan pendakwah bebas, Zamri Vinoth selepas memperhalusi nasihat dan pandangan daripada Menteri Perpaduan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, keputusan itu juga dilakukan selepas melakukan perbincangan dengan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, selain bertujuan menjaga perpaduan negara.-BH Online