KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memperhalusi cadangan bagi penubuhan tabung pendidikan khusus bagi membantu Universiti Al-Quds, di Baitulmaqdis.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata setakat ini, perbincangan awal sudah dibuat bersama wakil universiti itu.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memaklumkan kepada saya untuk perhalusi lagi cadangan penubuhan tabung pendidikan berkaitan Universiti Al-Quds, di Baitulmaqdis, difahamkan ada dua buah institusi di sana. null
“Saya sendiri tadi ada bertemu rektor Universiti Al-Quds dan dalam perbincangan itu kami berkongsi bagaimana dapat membantu mereka, mengambil kira (mereka) menghadapi kesulitan kerana universiti tidak dapat menampung bilangan pelajar yang begitu ramai dan bagaimana rakyat Malaysia sendiri dapat membantu,” kata kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Tauliah Industri dan Profesional Kementerian Pendidikan Tinggi (KPTiP) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Perdana Menteri semalam, berkata institusi pendidikan tinggi (IPT) termasuk universiti tempatan sudah diarah menjalinkan hubungan dengan Universiti Al-Quds bagi memperkukuhkan aktiviti di institusi itu.
Pada masa sama, kerajaan turut bersetuju untuk memberi bantuan wakaf bagi pemulihan institusi pendidikan dan kesihatan, termasuk universiti, di Baitulmaqdis.
Zambry berkata, beliau akan mengumumkan pendekatan terbaik untuk membantu Universiti al-Quds sebaik perbincangan dan penelitian lanjut dilaksanakan.
“Kita harap tidak adalah pandangan sinis mengatakan itu ini kerana dari segi nilai kemanusiaan, perkara inilah yang perlu dilakukan oleh setiap daripada kita.
“Sementara bantuan untuk membantu rakyat kita diteruskan, jangan lupa masih ada penderitaan manusia lain di luar sana, inilah nilai kemanusiaan yang perlu diterapkan dalam jiwa setiap daripada kita,” katanya.-BH Online