Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

HANOI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam di ibu pejabat parti berkenaan di sini, menandakan permulaan lawatan kerja dua hari beliau ke negara anggota ASEAN itu.

Kunjungan hormat itu diadakan sejam sejurus ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi malam ini.

Ia adalah lawatan kedua beliau ke Vietnam sejak memegang jawatan Perdana Menteri.

Anwar dan Lam menghabiskan kira-kira 30 minit membincangkan pelbagai isu berkaitan hubungan diplomatik dua hala antara Malaysia dengan Vietnam.

Lam sebelum ini mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada November tahun lepas, kunjungan pertama beliau sejak dipilih sebagai ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos 2024.

Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Republik Sosialis Vietnam Luong Cuong dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, esok.

Kenyataan itu menjelaskan pertemuan berkenaan akan memberi peluang kepada kedua-dua negara merangka hala tuju yang jelas dalam memperkukuh kerjasama dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif.

Selain Lam, Anwar turut dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Timor-Leste Jose 

Ramos-Horta di hotel penginapan kedua-dua pemimpin itu di Hanoi malam ini.

Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan ASEAN (AFF) kedua, yang dianjurkan kerajaan Vietnam, esok.

Bercakap kepada media Malaysia, Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai berkata sebagai Pengerusi ASEAN, ucaptama Perdana Menteri pada forum itu akan menekankan usaha untuk memperkukuh kumpulan serantau itu dalam menangani beberapa isu utama.

“Ucaptama Perdana Menteri secara umum akan mengetengahkan usaha untuk memperkukuh ASEAN dalam menghadapi persaingan kuasa besar, memajukan agenda ekonomi digital ASEAN, memacu inisiatif hijau, serta mengutamakan pembangunan mampan bagi menjamin masa depan negara anggota ASEAN,” katanya.

Anwar dijadualkan pulang ke tanah air hari ini selepas menghadiri forum berkenaan.-BH Online