KUALA LUMPUR: Perkembangan projek tebatan banjir, pembangunan di kawasan sempadan negara jiran dan pengurusan air di Kelantan akan terus menjadi antara keutamaan kerajaan di negeri itu.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, selepas beliau menerima kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Perdana Putra di sini.
Beliau berkata, perbincangan hari ini adalah usaha menambah baik kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Antara yang dibincangkan, termasuk perkembangan projek tebatan banjir, pembangunan di sempadan serta projek infrastruktur seperti penjajaran jalan dan pengurusan air.
“Saya titipkan pesanan supaya kepedulian terhadap kebajikan rakyat perlu terus menjadi keutamaan dan diuruskan sebaiknya,” katanya laman sosialnya, hari ini.-BH Online