Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Projek pembinaan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK) sudah mencapai tahap kemajuan kira-kira 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata Kementerian Kerja Raya optimis KBKK dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan kerana baki sekitar 20 peratus lagi projek itu sedang diusahakan oleh kontraktor yang dilantik baru-baru ini.

“Setakat ini, kira-kira 80 peratus (projek KBKK) siap dibina, jadi tinggal sekitar 20 peratus lagi, baru-baru ini kontraktor baharu sudah dilantik dan kerja-kerja akan bermula. Kita difahamkan ia akan mengambil masa juga (kerana beberapa prosedur).

“Pprojek KBKK ini dijangka siap 2027, kita mengambil kira (beberapa faktor), sebab Kelantan ini selalu dilanda monsun dan sebagainya,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Pengurusan Aset Menyeluruh 2025 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Azman Ibrahim dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Roslan Ismail.

Lebuh raya sepanjang 66.88 kilometer dengan kos RM2.33 bilion itu dipecahkan kepada tujuh pakej menghubungkan bandar Kota Bharu ke Kuala Krai sebelum bersambung dengan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU).

Selain itu, Alexander berkata, kementerian itu menetapkan bagi Jalan Persekutuan yang rosak, Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan kerja-kerja pembaikannya dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima, antaranya melalui aplikasi MyJalan atau platform lain. 

“Kita ini perlu bergerak dengan segera apabila kita terima aduan ataupun kita terjumpa jalan rosak, tidak perlulah kita nak tunggu. Kita dapati hanya 30 peratus jalan rosak di Jalan Persekutuan di bawah penyeliaan JKR,” katanya.

Berdasarkan statistik sehingga Disember tahun lalu, beliau berkata, kementerian itu menerima 26,205 aduan menerusi aplikasi MyJalan daripada lebih 40,000 pengguna berdaftar.

Aplikasi MyJalan adalah inisiatif bagi memudahkan pengguna jalan raya membuat aduan berkaitan kerosakan jalan yang dilancarkan secara rasmi pada 2 Ogos 2023.-BH Online