Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memantau rapi pelaksanaan projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) khususnya di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu bagi memastikan tiada sebarang kelewatan sehingga menjejas usaha mengurangkan impak banjir apabila projek siap kelak.

Beliau berkata, pihaknya menitikberatkan isu itu dan komited memastikan setiap projek tebatan banjir dilaksanakan dengan cekap, berkesan serta mengikut jadual demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

“Di Sabah, ada 14 projek rancangan tebatan banjir dilaksanakan. Dua projek tebatan banjir telah siap dan dalam tempoh liabiliti kecacatan, 10 projek sedang dalam pembinaan dan dua projek dalam fasa pra pelaksanaan.

“Manakala di Sarawak pula, 10 projek tebatan banjir dirancang dengan dua daripadanya sudah siap dibina dan juga masih dalam tempoh liabiliti kecacatan. 

“Dua projek sedang dalam pembinaan dan enam projek adalah adalah fasa pra pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara Bilangan 1 Tahun 2025 bertempat di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.

Mesyuarat terbabit menumpukan perbincangan hari ini berkaitan isu dan penyelesaian situasi bencana banjir di wilayah Sabah dan Sarawak yang terkesan sejak Januari lepas.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, di Sabah, dua episod banjir yang berlaku iaitu pada 17 hingga 20 Januari membabitkan tiga daerah, manakala episod kedua pada 27 Januari hingga 16 Februari meliputi 14 daerah.

“Sebanyak 3,120 ketua isi rumah (KIR) membabitkan 9,735 mangsa dipindahkan ke 68 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka sepanjang tempoh ini.

“Bencana banjir di Sabah ini juga telah mengakibatkan kerosakan beberapa infrastruktur awam seperti jambatan gantung di Kota Marudu dan Pitas.

“Di Sarawak, pada MTL 2024 / 2025 ini mencatatkan purata hujan tertinggi sebanyak 900mm berbanding kebiasaan purata hujan pada 450mm. 

“Data merekodkan 5,012 KIR membabitkan 16,670 mangsa terkesan dengan bencana banjir telah mendapat perlindungan di 85 PPS. Walau bagaimanapun, ada sebanyak 32,901 keluarga menjadi mangsa banjir tetapi tidak berpindah ke PPS,” katanya.

Mengulas tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak yang menyebabkan 60 KIR dengan 209 mangsa masih mendapat berlindung di Dewan Kampung Sukan Petronas, beliau berkata, Kerajaan Sarawak sedang mengenal pasti perumahan sementara untuk mereka sementara Kampung Lereng Bukit dibina semula dan masalah cerun tanah dibaiki.

“Sarawak menganggarkan sebanyak 1,335 projek infrastruktur awam telah rosak dan memerlukan pembaikan dan penyelenggaraan segera kesan daripada banjir yang berlaku di negeri Sarawak.

“Sebagai langkah segera, mesyuarat juga telah meluluskan pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di Long Busang di Belaga Sarawak. 

“Bagi PPKB di kawasan lain, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

“Setakat ini hanya ada satu sahaja PPKB telah dibina di Johor iaitu di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan NADMA juga akan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi memudahkan penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana.-BH Online