Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MANAMA, BAHRAIN: Malaysia merancang untuk mengembalikan penerbangan terus ke Bahrain bagi mengukuhkan hubungan dua hala serta meningkatkan peluang ekonomi dan pelancongan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dalam perbincangan bersama rakan sejawatnya yang juga Putera Mahkota Bahrain, Sheikh Salman Hamad Al Khalifa, mereka menekankan kepentingan hubungan udara yang lebih kerap.

“Potensi di sini (Bahrain) ada, walaupun kita masih menunggu, (mungkin) kita akan minta (syarikat penerbangan) Gulf Air supaya mengembalikan penerbangan terus (antara Malaysia dan Bahrain).

“Perdana Menteri yang juga Putera Mahkota Bahrain menyebut, minta kita beri perhatian supaya ada hubungan pesawat yang lebih kerap sama ada (oleh) Malaysia Airlines atau syarikat penerbangan lain,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam bersama diaspora Malaysia sempena lawatan rasminya ke Bahrain, atas jemputan Sheikh Salman Hamad Al Khalifa.

Penerbangan terus antara Malaysia dan Bahrain sebelum ini dihentikan oleh Gulf Air pada 2012, menyebabkan pelancong dan ahli perniagaan terpaksa bergantung kepada penerbangan sambungan melalui hab utama seperti Doha dan Dubai.

Dalam perkembangan berasingan, Anwar berkata, Putera Mahkota Bahrain dijangka berkunjung ke Malaysia pada Mei ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Jelas Perdana Menteri, GCC penting bagi Malaysia dan ASEAN dalam meningkatkan pelbagai bidang termasuk pendidikan, pelancongan, pelaburan, kewangan dan perbankan Islam serta industri halal.

“Kemungkinan besar Putera Mahkota maklumkan kepada saya, baginda akan ke Kuala Lumpur pada Mei ini untuk (hadiri) ASEAN-GCC.

“Jadi GCC itu adalah satu kawasan yang penting bagi Malaysia dan ASEAN dan insya-Allah kita akan tingkatkan dalam semua bidang, kita (akan) bincang pendidikan, kecerdasan buatan (AI), pelancongan dan ekonomi,” katanya.

Terdahulu, dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu, Anwar menyampaikan undangan kepada Putera Mahkota Bahrain bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China.-BH Online