Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diberikan peranan sebagai agensi utama pelaksanaan prapendaftaran MyDigital ID, bagi meningkatkan kadar pendaftaran di platform berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

“Untuk mempercepatkan proses pendaftaran, mesyuarat semalam mencadangkan supaya JPN diberi peranan sebagai agensi utama dalam prapendaftaran MyDigital ID.

“Ini kerana JPN adalah pemegang data rakyat yang paling sah dan lengkap.

“Dengan langkah ini, setiap rakyat Malaysia yang mencapai usia 12 tahun, secara automatik akan didaftarkan untuk MyDigital ID ketika mereka mendapatkan MyKad,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara, di sini, hari ini.

Pada Disember tahun lalu, media melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku berang dengan kelewatan projek MyDigital ID serta rangkaian kedua 5G sehingga menyebabkan beliau terpaksa melepaskan kemarahan agak keras dalam satu mesyuarat sebelum itu.

Perdana Menteri dipetik berkata, pelaksanaan MyDigital ID terlambat setahun, manakala rangkaian 5G kedua pula masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat respons positif daripada Digital Nasional Bhd (DNB) dan syarikat telekomunikasi.

Menjelaskan lanjut, Saifuddin Nasution memaklumkan bahawa bagi merealisasikan inisiatif berkenaan, Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias, akan meneliti semua aspek proses kerja serta keperluan undang-undang berkaitan.

“Dari sudut pendaftaran, kita sudah ada akta berkaitan, namun pindaan terhadap Akta Pendaftaran Negara akan dibuat untuk membolehkan transaksi menggunakan MyDigital ID diperakui.

“Tujuan utama langkah ini ialah meningkatkan kadar pendaftaran MyDigital ID dan memudahkan urusan rakyat dengan aplikasi kerajaan pada masa depan,” katanya.

MyDigital ID ialah inisiatif kerajaan bagi pengesahan identiti secara selamat dan sah untuk pengguna dalam talian, yang dibangunkan sejak 2016.-BH Online