KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan yang baru ditubuhkan kerajaan awal tahun ini sudah mengenalpasti kira-kira 10 isu berkaitan perpaduan yang memerlukan penyelesaian jangka pendek dan panjang.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, biarpun baru ditubuhkan, jawatankuasa itu yang dianggotai pelbagai agensi giat merangka jalan terbaik bagi mengelak isu perpaduan yang tercetus, berupaya menggugat keharmonian negara.
“Jawatankuasa sudah menjalankan mesyuarat pertama mereka. Selain Kementerian Perpaduan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga ada didalamnya.
“Selain itu, jawatankuasa dianggotai wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi, Kementerian Pendidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Southeast Asia Regional Centre for Counter-Terrorism (SEARCCT).
“Mereka sudah melihat beberapa isu sensitif sejak awal tahun ini. Pelbagai isu mereka sudah kenal pasti dan cadang supaya setiap isu dikaji penyelesaian jangka pendek. Setakat ini 10 isu baru yang timbul sudah pun dibincangkan untuk diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr Hajah Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai keanggotaan jawatankuasa itu pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan asal Halimah mengenai garis panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan berhubung aktiviti yang membabitkan unsur keagamaan dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum, Aaron berkata setakat ini, kementeriannya tidak mempunyai sebarang garis panduan khusus.
Namun, katanya, kementeriannya sudah mengambil pendekatan melalui pelaksanaan program untuk merapatkan jurang sosial antara rakyat Malaysia sekaligus meraikan kepelbagaian budaya, adat resam, perayaan dan warisan.
“Segala pelaksanaan program dan inisiatif adalah berdasarkan tiga objektif yang digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara iaitu mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat menghormati dan bertanggungjawab dan melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan,” katanya.-BH Online