Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Qatar mengadakan perbincangan mengenai situasi terkini di Gaza, berhubung pelanggaran syarat gencatan senjata oleh rejim Zionis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata isu itu dibincangkan selepas beliau menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, malam tadi.

“Menerusi perbualan telefon, kami berbincang mengenai situasi terkini di Gaza terkait perlanggaran syarat gencatan senjata yang sengaja dilakukan oleh rejim Zionis Israel untuk melengahkan proses perdamaian yang diusahakan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat.

“Saya juga menyanjung usaha gigih yang dilakukan Sheikh Mohammed dalam mencari jalan untuk menghentikan segera kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Gaza dan mencapai perdamaian yang berkekalan.

“Saya turut menegaskan komitmen berterusan Malaysia untuk tetap teguh mendokong setiap inisiatif termasuk memberi bantuan kemanusiaan, selain menamatkan penjajahan dan pendudukan Israel di bumi Gaza,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Perdana Menteri sebelum ini menegaskan gencatan senjata di Gaza mesti dijadikan batu loncatan ke arah matlamat menubuhkan negara Palestin yang berdaulat, sah dan bebas.

Justeru, beliau berkata komuniti antarabangsa mesti memastikan gencatan senjata itu dipatuhi bagi membuka jalan perbincangan fasa seterusnya yang akan membawa kepada ketenangan berkekalan dan pembinaan semula Gaza.-BH Online