Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GOMBAK: Tiada keperluan untuk menetapkan garis panduan mengenai pembabitan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Perdana Menteri menegaskan umat Islam sebaliknya hanya perlu menjaga akidah dan mematuhi peraturan agama yang sudah ditetapkan.

“Tak perlu nak bagi penjelasan berhubung peraturan atau garis panduan.. Yang perlu adalah orang Islam jaga akidah dia, bahawa ada peraturannya (dan) ada yang tak boleh dilanggar.

“Tapi untuk menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan pelbagai agama itu tidak ada masalah.

“Seperti saya datang di sini (Batu Caves) hari ini bukan untuk (mengikuti) upacara agama,” katanya kepada pemberita ketika melawat di Batu Caves, di sini, petang ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Jemaah Menteri hari ini yang bersetuju bahawa JAKIM boleh memberikan nasihat kepada umat Islam di negara ini berkaitan keperluan menjaga akidah ketika mengikuti majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, dalam kenyataan bersama mereka, dilaporkan berkata nasihat itu bagaimanapun tidak bersifat dasar.

Dalam pada itu, Anwar berkata, keputusan Kabinet berhubung mesyuarat itu akan dipersembahkan kepada Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan bila hasil mesyuarat itu akan dipersembahkan kepada Sultan Nazrin.

Lawatan Anwar di Batu Caves petang ini untuk memastikan kemudahan di sini selesa bagi penganjuran acara Thaipusam, minggu depan.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan.

Terdahulu, Perdana Menteri menyertai kira-kira 1,500 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati, Ampang. 

Usai solat Jumaat, beliau yang diiringi Amirudin, meluangkan masa bersama pengunjung Medan Selera Anjung, Taman Melawati untuk makan tengahari.-BH Online