Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan berharap pucuk pimpinan parti akan mencalonkan anak tempatan dalam pilihan raya kecil parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
“Amanah Johor berpandangan calon di kedua-dua kerusi itu perlu diberi keutamaan kepada anak tempatan dan orang Johor. Hasrat ini telah pun disampaikan kepada pucuk pimpinan.
“Bagaimanapun, setakat ini hanya Amanah Kawasan Pulai telah menghantar nama calon. Segala keputusan akan diputuskan pucuk pimpinan kelak, apa-apa pun kita di peringkat negeri akan mengambil maklum,” kata Aminolhuda semalam.
Ini kerana kedua-dua kerusi yang sebelum ini disandang oleh allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub tidak boleh dianggap kerusi selamat berdasarkan suasana politik yang telah berubah.
Berkenaan khabar angin bahawa pengarah komunikasi Amanah Khalid Samad berkemungkinan besar bertanding di Pulai, Aminolhuda menyerahkan perkara tersebut untuk diputuskan oleh pucuk pimpinan.
PRK untuk kedua-dua kawasan akan berlangsung pada 9 September ekoran kematian Salahuddin pada 23 Julai.
